Stres lerai di tangan

SHIATSU berasal daripada perkataan Jepun `shi’ yang bermaksud jari dan `atsu’ yang bermaksud tekanan. Terapi ini menggunakan teknik tekanan, sentuhan dan manipulasi untuk menyeimbangkan aliran tenaga dan membetulkan elemen struktur fizikal badan. Sebahagian besar pengamal terapi shiatsu menggunakannya untuk menangani masalah stres dan sebagai tambahan dalam program penjagaan kesihatan.

Satu teknik shiatsu yang popular ialah urutan tangan yang dikatakan dapat meredakan stres dalam masa hanya lima minit!

Stres perlu dikawal pada peringkat awal bagi mengelakkan ia menjadi masalah yang lebih teruk, malah mungkin sehingga membuatkan kamu terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan dan terapi untuk menanganinya.

Menurut terapi shiatsu, setiap jari tangan mewakili emosi yang berbeza:

  • Ibu jari – bimbang
  • Jari telunjuk – takut
  • Jari tengah – marah
  • Jari manis – sedih
  • Jari kelengkeng – keyakinan diri

Apabila kamu berdepan dengan salah satu emosi tersebut, genggam jari berkenaan dengan tangan anda yang sebelah lagi selama 1 hingga dua minit. Teknik ini bagi mengembalikan tenaga diri anda.

Selepas itu, tekan ibu jari tangan yang sebelah lagi pada bahagian tengah tapak tangan selama 1 hingga 2 minit bagi menenangkan diri.

Teknik urutan lain

Selain jari, teknik urutan shiatsu juga mempunyai beberapa lokasi lain pada tangan yang boleh menghilangkan stres.

Sasarkan urutan pada bahagian otot di antara ibu jari dan jari telunjuk, di atas sedikit daripada pangkal ibu jari dan di mana tulang ibu jari dan jari telunjuk bertemu.

Picit bahagian otot ini dengan ibu jari dan jari telunjuk tangan sebelah lagi bagi meredakan rasa tegang yang dirasa pada seluruh badan, termasuk pada kepala, leher dan belakang. Urut selama masa kamu suka.

Sekiranya kamu mempunyai fikiran dan emosi negatif, urut pada bahagian dalam pergelangan tangan di mana tulang tangan dan tulang lengan bertemu. Urutan tersebut mungkin membuatkan kamu terasa sesemut (berdenyut-denyut) atau kebas sedikit.

Kalau kamu ada sesuatu yang penting mahu diputuskan, cuba urut bahagian luar pergelangan tangan. Urutan pada bahagian sedikit lekuk ini boleh menenangkan diri dan membantu kamu berfikir dengan lebih jelas.

i-sihat.com.my