Fakta mengenai regangan!

BOLEHKAH anda membongkok dan menyentuh ibu jari kaki, atau berdiri secara seimbang dengan satu kaki selama 20 saat? Jika merasakannya agak mustahil, anda sebenarnya tidak berseorangan. Ramai yang tidak menggabungkan latihan keseimbangan, stabiliti atau fleksibiliti dalam rejim senaman walaupun senaman tersebut sangat penting dalam meningkatkan kualiti hidup.

Tahukah anda, sakit belakang adalah punca utama ramai yang berjumpa doktor. Bagaimanapun sekitar 80 peratus sakit belakang sebenarnya tidak memerlukan rawatan perubatan dan akan hilang dalam tempoh satu atau dua bulan (melainkan sakit belakang akut yang memerlukan rawatan). Tulang belakang sangat kuat dan mampu menanggung beban yang berat dan tekanan. Namun anda perlu menjaganya bermula daripada usia muda dengan menjaga postur, menguatkan otot belakang dan melakukan regangan.

Jom ketahui fakta mengenai regangan

  • Yoga membantu pergerakan anda menjadi lebih baik dan kurang berasa kaku dan kejang.
  • 5 minit regangan sebelum tidur, membantu merelakskan otot dan anda mendapat posisi tidur dengan lebih mudah.
  • Regangan membantu meningkatkan pengaliran darah, paras kandungan oksigen dan menghantar nutrien kepada otot serta membantu menyingkirkan bahan buangan metabolik seperti karbon dioksida, ammonia dan asid urik.
  • Menguap dan mengeliat (regangan) pada masa sama disebut sebagai pandiculation (pandikulasi).
  • Risiko kematian meningkat 40 peratus bagi mereka yang duduk sepanjang hari. Isunya, bukan semua mampu menyediakan meja yang membolehkan anda melakukan kerja sambil berdiri. Cara menanganinya ialah dengan melakukan regangan (idealnya setiap satu jam). Cubalah, ia boleh memberi perubahan yang besar kepada kesihatan.
  • Pelari dan para atlet menyedari manfaat regangan. Namun tahukah anda, regangan juga mampu membantu pesakit diabetes dan depresi. Malah kajian penyelidik Wexner Medical Centre, Universiti Ohio State mendapati regangan sewaktu melakukan yoga juga boleh memberi manfaat kepada pesakit kanser payudara.
  • Sangat penting untuk melakukan regangan selepas bersenam. Melakukan regangan sewaktu otot sudah lembut daripada aktiviti yang dilakukan membantu anda sembuh dengan lebih cepat dan mencegah kecederaan.
  • Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi fleksibiliti: usia (lebih muda seseorang menjadi lebih fleksibel), jantina (wanita lebih fleksibel berbanding lelaki), aktiviti (individu yang aktif lebih fleksibel) dan suhu persekitaran (cuaca panas menjadikan otot lebih fleksibel berbanding cuaca sejuk).
  • Kajian mencadangkan melakukan regangan di tempat kerja mampu mengurangkan kesakitan sehingga 72 peratus. Walaupun kajian mengenainya masih tidak banyak dilakukan, regangan di tempat kerja boleh mengurangkan ketidakselesaan tanpa mengganggu produktiviti.
  • Rasa tidak selesa melakukan regangan? Sebenarnya, ia menyakitkan jika anda terlalu memaksa melakukannya. Caranya, lakukan regangan dan berhenti apabila anda merasa ketegangannya. Tarik nafas dalam-dalam semasa melakukan regangan selama 15-30 saat. Kemudian berehat dan ulangi posisi regangan tersebut dengan mencuba lebih jauh.
i-sihat.com.my