Cara Amber Chia `Take A Break’ Bila Stres

BUAT wanita tinggi lampai ini kesihatan tiada kompromi. Walaupun kerjaya sebagai supermodel memerlukan dia sentiasa mengawal ketat pemakanan namun dia sentiasa memastikan tubuhnya tidak kekurangan nutrisi. Tambahan pula kerjayanya sebagai model, ahli perniagaan dan pada masa yang sama menjadi isteri dan ibu membuatkan dia perlu aktif dan bertenaga.

Setiap pagi wajib untuk Amber menimbang berat bagi memastikan berat sentiasa kekal 52 kilogram. Sekiranya terlebih, dia akan mula berdiet dan sekiranya terkurang dia akan makan lebih sedikit.

“Berat saya pernah mencapai hingga 58 kilogram dan saya fikir saya masih kurus hinggalah saya tidak muat untuk menyarungkan pakaian dan disuruh balik semasa mahu mengadakan show. Saya menangis dan selepas itu saya tekad untuk tidak gemuk lagi!

“Hanya apabila tubuh sihat baru kita akan kelihatan cantik. Cara saya untuk kekal slim adalah dengan hanya ambil karbohidrat dari pagi hingga petang. Jika terlalu lapar waktu malam barulah saya akan ambil satu sudu besar nasi.

“Untuk sarapan pula, saya hanya ambil yogurt drink atau minuman protein. Makan tengah hari atau bufet pula akan dimulakan dengan sepinggan besar salad dan buah-buahan kemudian baru akan ambil lain-lain makanan.

“Lagi satu, saya sentiasa amalkan tidak makan hingga perut kenyang. Jika lapar, saya akan makan semula. Sebaiknya, kita jangan ‘seksa’ sistem penghadaman dengan mengambil kuantiti yang banyak dalam satu masa. Saya juga pencinta makanan manis seperti kek tetapi cukup sekadar merasa bukan sampai puas.

“Untuk kekal fit tidak boleh bagi alasan sibuk. Jika ada masa saya akan ke kelas yoga.

Macam kerjaya saya melibatkan banyak masa menunggu, jadi jika ada kesempatan itu, saya tidak akan sia-siakan dan akan melakukan senaman asas seperti sit up dan pumping.

“Saya juga tidak suka berada dalam keadaan stres yang berpanjangan dan akan cuba distress secepat mungkin. Caranya adalah dengan take a break, mematikan telefon selama setengah hari, ambil masa untuk bertenang atau ke spa selama dua jam. Kosongkan fikiran dan lepas itu, saya akan okey kembali,” ujar pengasas dan pemilik sekolah modeling elit, Amber Chia Academy ini  kepada wartawan isihat

i-sihat.com.my